Tuesday 6 December 2011

Kesan Negatif Globalisasi

Terdapat banyak kesan negatif yang timbul daripada globalisasi, antaranya:

1. Proses Pengamerikaan Dunia
Ia merupakan proses untuk menjadikan budaya Amerika diikut oleh semua penduduk dunia. Proses ini akhirnya akan merosakkan budaya-budaya lain selain budaya Amerika. Perkara ini tidak menjadi negatif sekiranya budaya Amerika adalah budaya yang baik, bertepatan dengan fitrah kejadian manusia dan agama Islam. Namun sebaliknya, budaya Amerika merupakan budaya yang kebanyakannya bertentangan dengan akhlak dan ajaran Islam. Budaya gay dan seks bebas merupakan contoh yang jelas.

 Mereka menggunakan media massa untuk menyebarkan luaskan budaya mereka. Filem-filem yang mereka buat di Hollywood, di samping dapat mendatangkan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada Amerika, ia digunakan untuk tujuan mempromosikan budaya mereka kepada dunia. Bukan itu sahaja, budaya makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken dan Mc Donald cuba diterapkan kepada penduduk dunia. Proses pengamerikaan ini akhirnya akan menjadikan sesuatu bangsa lebih berbangga untuk mengikut budaya Amerika daripada budayanya sendiri, bahkan sampai ke tahap memandang rendah kepada budaya ibundanya sendiri.

 

2. Kemiskinan dan Penindasan

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi  

"Sesungguhnya globalisasi seperti yang dilihat hari ini, hanyalah untuk kebaikan golongan yang kuat terhadap yang lemah, untuk keuntungan yang kaya terhadap golongan miskin dan untuk manfaat blok utara yang kaya tehadap blok selatan yang miskin". 

Kenyataan tersebut jelas menunjukkan kesan negatif globalisasi. Dalam sistem globalisasi, negara yang kaya akan bertambah kaya, manakala yang miskin akan terus miskin.
Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Bank Dunia berperanan dalam mewujudkan jurang yang besar di antara negara blok utara dan blok selatan. Negara-negara dunia ketiga yang berada di blok selatan, ketika berhutang dengan Bank Dunia, akan dikenakan faedah dan syarat-syarat tertentu yang rata-ratanya akan mendatangkan kesan negatif kepada peminjam.

Begitu jugalah, dengan wujudnya WTO, kemiskinan dan penindasan akan berterusan. Hal ini kerana WTO membentuk satu persaingan bebas dalam perdagangan. Sudah pasti, negara blok selatan yang masih merangkak tidak mampu mengejar, apatah lagi menyaingi negara-negara maju di blok utara. Justeru, inilah "penjajahan lama yang berwajah dan bernama baru".




1 comment:

  1. sangat menarik apa yang awk ceritakan kesan negatif globalisasi ialah penamerikaan dunia...tapi boleh tak terangkan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan kesan yang dinyatakan itu ?..terima kasih

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...